Sabtu, 20 Disember 2014

Cari peluang di usia muda

Oleh : Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Orangnya masih muda namun mempunyai kematangan yang tinggi dan berwawasan untuk mengejar kejayaan dalam hidup. Tidak seperti kebanyakan pemuda yang gemar bersosial ketika usia masih hijau, Muhammad Alisam Ismail, 31, sudah mula membangunkan pusat tuisyen bagi pelajar sekolah sejak empat tahun lalu.

Biarpun mempunyai jawatan tetap sebagai eksekutif kanan perhubungan awam, itu tidak pernah menghalangnya mengejar impian memiliki rangkaian pusat tuisyen yang mempunyai kredibiliti tinggi.

Untuk mengenali lebih mendalam pemilik pusat tuisyen, Perintis Didik di Seksyen 7, Shah Alam ini, ikuti temu bual bersamanya baru-baru ini.

123 Y 123
Foto

ALISAM komited membangunkan perniagaan.

123 Y 123

Soalan (S): Apakah latar belakang diri anda?

Jawapan (J): Saya dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, berasal dari Besut, Terengganu dan belum berumahtangga. Saya mempunyai 11 adik-beradik dan saya anak yang keenam.

Saya mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang, Kelantan; SK Lok Kawi, Kota Kinabalu; SK Muhibbahraya, Tawau; SK Kerandang, Besut; SK Seri Delima, Kuala Lumpur; SMK Raja Abdullah, Kuala Lumpur dan SMK Tengku Mahmud 1, Besut, Terengganu.

Saya bertukar sekolah setiap tahun kerana mengikut ayah yang bekerja kerajaan, sehinggalah ayah saya jatuh sakit, kami sekeluarga pulang semula ke Terengganu.

Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, saya melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Komunikasi dan Media, seterusnya menyambung sehingga Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) (Penyiaran) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Kini, saya bekerja sebagai Eksekutif Kanan Perhubungan Awam di sebuah syarikat swasta. Pada masa lapang, saya gemar berkunjung ke pusat gimnasium dan menonton wayang. Saya juga suka menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan rapat.


S: Apakah yang mendorong Alisam untuk membuka pusat tuisyen?

J:
Ketika menuntut di UiTM, saya pernah bekerja sebagai guru tuisyen secara separuh masa. Tujuan sebenar saya bekerja ketika itu adalah untuk menampung kos sara hidup dan perbelanjaan pendidikan saya. Sejurus tamat pengajian, saya mula bekerja dalam bidang komunikasi korporat dan perhubungan awam di beberapa syarikat tempatan.

Sepanjang menjalankan tugas, saya banyak menjalankan program kebajikan dan tanggungjawab sosial yang memerlukan saya berhubung dan mengunjungi sekolah dan institut pengajian tinggi di seluruh negara. Ini membuatkan jiwa saya semakin dekat dengan golongan pelajar.

Pada masa sama, saya mengenali seorang usahawan wanita yang sangat kental dan tidak pernah berputus asa untuk memajukan perniagaan perabot yang diusahakannya bersama suami.

Sejak itu, saya kerap berjumpa dengannya untuk berkongsi cerita, pengalaman dan pengetahuan dalam dunia perniagaan. Banyak juga rahsia dan selok-belok perniagaan saya kongsi bersamanya.

Saya mula tertarik dan cuba memikirkan jenis perniagaan yang mungkin saya boleh ceburi. Memandangkan saya amat meminati bidang pendidikan serta mempunyai sedikit pengalaman sebagai guru, saya rasakan perniagaan tuisyen pilihan yang tepat.

Tanpa membuang masa, saya mula membuat penyelidikan dan kajian mengenai perkhidmatan dan operasi pusat tuisyen untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.


S: Bagaimanakah membahagikan masa antara mendidik dan bekerja sepenuh masa?

J:
Operasi pusat tuisyen tidak memerlukan tempoh masa yang panjang. Perintis Didik hanya dibuka pada waktu malam iaitu pada jam 8 malam hingga 10 malam. Kebetulan pada waktu malam saya tidak terikat dengan mana-mana pihak. Justeru, saya rasakan waktu itu boleh diisi dengan melakukan perkara berfaedah dan dapat membina karier saya.

Selepas waktu bekerja, saya menjaga pusat tuisyen pula, begitulah rutin saya setiap hari dan malam. Walaupun penat, saya tetap gagahkan langkah untuk memastikan operasi tuisyen berjalan dengan lancar.

Sekiranya saya diarah untuk bekerja di luar kawasan, saya memohon bantuan adik-beradik dan rakan untuk menguruskan pusat tuisyen berkenaan.

Kini, saya sudah mempunyai pekerja bertanggungjawab untuk menguruskan pusat tuisyen itu. Sedikit sebanyak, saya dapat berehat dan mempunyai masa lapang untuk melakukan perkara lain seperti bercuti, bersukan, membeli-belah serta berehat bersama keluarga dan rakan.

Kalau dulu, saya selalu berfikir banyak kali jika terpaksa meninggalkan Pusat Tuisyen Perintis Didik namun sekarang saya sudah boleh bergantung kepada kakitangan dan guru yang ada.


S: Apa yang cuba diterapkan pada generasi muda?

J:
Hasrat saya adalah untuk mendidik generasi muda agar cintakan ilmu. Jangan sia-siakan peluang yang ada.

Peluang tidak datang selalu, jadi saya selalu berpesan kepada mereka supaya terus berusaha dan belajar bersungguh-sungguh untuk menjamin kehidupan yang baik pada masa akan datang. Biar penat sekarang, jangan penat di kemudian hari.


S: Apakah nasihat anda kepada golongan muda supaya mereka mampu berjaya dalam hidup, tidak sekadar mengharapkan bantuan kerajaan atau menunggu saja peluang?

J:
Saya bukanlah datang daripada latar belakang keluarga berada. Sejak kematian bapa pada 1998, saya sering melihat ketekunan dan kesungguhan ibu membesarkan 11 anak dengan hanya menoreh getah.

Mujur saya mempunyai kakak dan abang yang sangat memahami dan mengetahui erti tanggungjawab untuk membantu meringankan beban ibu. Secara tidak langsung, saya terdidik untuk menjadi seperti mereka dan menghulurkan bantuan kepada adik-adik saya pula.

Saya percaya, setiap manusia diberi peluang untuk berjaya, semuanya terletak pada diri masing-masing. Saya sentiasa berfikir untuk memajukan dan mencungkil bakat serta potensi diri supaya satu hari nanti saya dapat membantu orang sekeliling.

Dengan kudrat yang ada, saya rasa tidak adil sekiranya hanya berpeluk tubuh menunggu gaji pada setiap hujung bulan. Jadi saya mula mencari inisiatif untuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan tetapi pada masa sama, saya cuba memilih bidang perniagaan yang tidak membelakangkan urusan pekerjaan, keluarga serta rakan.


S: Apakah matlamat anda dalam lima tahun akan datang?

J:
Saya mempunyai cita-cita yang besar. Hasrat saya dalam tempoh lima tahun akan datang adalah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan mengembangkan perkhidmatan tuisyen saya di tempat lain.

Saya juga memasang impian untuk menubuhkan sebuah institusi pendidikan swasta bagi melahirkan generasi muda yang kreatif, dinamik dan berkaliber.


S: Siapakah pendorong kuat hingga memberi keberanian pada anda berkecimpung dalam bidang pendidikan?

J:
Sudah tentu ibu dan adik-beradik saya. Tidak lupa pekerja dan barisan guru yang begitu berdedikasi mendidik di samping rakan rapat yang sentiasa memberi dorongan kepada saya untuk terus memajukan perkhidmatan pusat tuisyen ini.

Pelajar saya juga sangat menyokong saya. Apabila melihat wajah mereka, semangat saya semakin bertambah dan sentiasa berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik.

Adat berniaga ada pasang surutnya. Pernah juga sampai satu masa, keberanian saya hampir luntur kerana tidak mampu bertahan dan terpaksa menanggung dugaan.

Cabaran terbesar adalah kesukaran mendapatkan pelajar. Bayangkan pada tahun pertama Perintis Didik ditubuhkan, ruang legar dan bilik darjah terasa begitu sunyi sekali.

Hanya ada beberapa orang pelajar, itupun anak-anak kepada rakan sekerja dan kawan saya yang cuba membantu dengan menghantar anak mereka menyertai tuisyen ini.

Masalah kewangan juga pernah menjadi penghalang kepada saya terutama apabila sukar mendapatkan peruntukan untuk tujuan promosi. Saya pernah terfikir untuk menamatkan saja perniagaan tuisyen yang saya usahakan ini.

Namun, keluarga terutama ibu tersayang (Aminah Kadir) sentiasa memberi kata semangat dan menyokong saya. Begitu juga dengan kawan baik saya yang sentiasa berusaha membantu sekiranya saya menghadapi sebarang masalah. Oleh itu, saya kuatkan semangat dan sedaya upaya meneruskan perniagaan hingga hari ini.

Pada awal penubuhan, pusat tuisyen ini hanya mempunyai pelajar kurang daripada 10 orang namun hingga kini, pelajarnya hampir 200 orang.

Selain menawarkan tuisyen secara berkumpulan di pusat tuisyen, saya juga menawarkan khidmat tuisyen persendirian iaitu seorang pelajar dan seorang guru, sama ada di pusat tuisyen atau di rumah pelajar.

Pusat tuisyen ini juga menerima banyak permintaan khas seperti pelajar yang menduduki peperiksaan SPM kali kedua, pelajar yang baru pulang dari luar negara serta ada juga pelajar yang sudah berusia tetapi mempunyai keazaman untuk belajar.

Saya tidak mahu hampakan permintaan mereka, oleh itu saya cuba wujudkan kelas khas ini untuk mereka. Maklumat lebih lanjut boleh didapati menerusi emel alisam@perintisdidik.com atau laman www.perintisdidik.com.


S: Apakah harapan anda mengenai sistem pendidikan di negara ini pada masa hadapan?

J:
Saya rasakan sistem pendidikan di negara ini sudah berada pada kedudukan yang baik, cuma beberapa penambahbaikan perlu dibuat bagi memastikan pelajar sentiasa berminat untuk belajar di sekolah.

Selain itu, guru juga perlu memainkan peranan mereka sebagai seorang pendidik dengan mengajar pelajar secara tulus dan ikhlas. Jangan abaikan pelajar yang lemah sebaliknya bantulah mereka dengan memberi semangat dan motivasi.

Guru juga perlu mewujudkan hubungan komunikasi yang baik sesama mereka. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Sikap dan moral pelajar juga terbina daripada guru yang mengajar mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30
http://mobile.hmetro.com.my/articles/Caripeluangdiusiamuda/2013/Article
`