Khamis,18 Disember 2014

Haiwan liar dijual melalui Internet

Jakarta: Penjualan haiwan spesies terlindung menerusi Internet masih berleluasa di Jawa Tengah, kata pegawai Agensi Konservasi Sumber Alam Semula Jadi Jawa Tengah (BKSDA)semalam.

Ketua agensi itu di wilayah 1, Johan Setiawan berkata, tahun ini saja agensi terbabit melakukan tujuh serbuan terhadap penjualan haram haiwan spesies terlindung. Pihaknya juga merampas lebih 15 haiwan liar spesies terlindung termasuk orangutan, burung Jalak Bali, burung kakatua dan kokang. Agensi itu bersama Pusat Perlindungan Orangutan baru-baru ini memberkas seorang peniaga yang menjual burung helang dan kokang di pasar burung Ambarawa, di Jawa Tengah.


Johan berkata, penahanan itu dibuat ekoran pemantauan laman web yang menjual haiwan liar. Suspek dikenali sebagai Paryono dilaporkan menjual haiwan spesies terancam di pasar berkenaan sejak enam tahun lalu.

Berikutan penahanan itu, mereka turut merampas dua helang Bido dan enam kokang. Haiwan berkenaan biasanya dijual dengan harga antara 600,000 rupiah (RM 184) dan 1 juta rupiah (RM307). Paryono disifatkan melanggar Akta 1/1990 konservasi sumber biologi dan ekosistem yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda 100 juta rupiah (RM 30,769).


Johan berkata, peniaga haiwan liar beroperasi dalam rangkaian dan serbuan dapat memperlahankan kegiatan mereka.


“Sebaik saja kami menghentikan serbuan, mereka menjadi aktif semula,” katanya. Dia menyalahkan bahaya peningkatan perniagaan haiwan liar berikutan bahawa ramai orang masih gemar mengumpul dan memeliharan haiwan itu. Sesetengahnya malah meganggap hobi sedemikian berprestij. Keadaan ini menyebabkan permintaan tinggi untuk haiwan liar. “Pembekal akan melakukan apa saja bagi membekalkan permintaan bagi haiwan berkenaan dengan memburunya di habitat semula jadi mereka,” katanya. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14
`