Ahad,21 Disember 2014

Fahami Kod Etika Pemilihan

“Apa yang ditulis dalam Kod Etika Pemilihan, itulah perkara kena ikut. Semua tahu kerana sudah pun diamal sejak 2008.”

Demikian tegas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas cakap-cakap termasuk calon yang tidak berpuas hati dengan kekangan dalam kod etika itu menjelang Pemilihan UMNO 2013.


Sejak diumumkan senarai nama awal pencalonan mereka yang layak bertanding iaitu seramai 260 calon di peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan tiga sayap parti sementara 33,682 calon lagi di peringkat bahagian banyak pihak masih tertanya-tanya mengenai nasib mereka kerana senarai akhir hanya akan diumumkan pada 7 Oktober ini.

Namun, agak mengejutkan apabila dua calon MT Prof Datuk Dr Zainul Fitri Othman dan Tun Faisal Ismail Aziz digugurkan daripada senarai pencalonan kerana tidak layak bertanding pada pemilihan bulan depan.


Jika diimbas kembali pindaan Perlembagaan parti 2009, ahli UMNO yang ingin menawarkan diri untuk bertanding hanya perlu memenuhi kelayakan minimum iaitu untuk ahli MT hendaklah sekurang-kurangnya telah menjadi Ahli MT atau Ahli Jawatankuasa Bahagian (AJK) selama satu (1) penggal. Manakala untuk bertanding AJK Bahagian pula adalah menjadi ahli UMNO sekurang-kurangnya tiga (3) tahun. Fasal-fasal yang terbabit adalah 9.5 dan 15.5 Perlembagaan UMNO. Sudah terang lagi bersuluh dalam soal syarat minimum ini kerana sememangnya termaktub sejak pindaan dilakukan. Tiada siapa boleh mempertikaikannya.


Pucuk pimpinan juga amat tegas dan tidak akan bertolak-ansur dalam soal ini. Sepatutnya, mereka yang mahu menjadi calon mengambil berat soal ini kerana jika Jawatankuasa Pemilihan terlepas pandang sekalipun sehingga seseorang calon itu menang, pastinya akan disusuli dengan bantahan daripada pihak lain khususnya mereka yang tewas dan kemenangan mereka boleh dibatalkan. Mungkin tak ramai terbabit, tetapi ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Tetapi, sekiranya ada pengecualian dalam apa bentuk sekali pun untuk mengetepikan syarat minimum berkenaan, pastinya keputusan itu menjadi dalil pada masa depan. Dan pindaan Perlembagaan parti akan dipermain-mainkan kerana tidak serius dilaksanakan.


Dalam isu Tun Faisal, Ketua Pergerakan Pemuda Khairy Jamaluddin yang turut mempertikaikan pengguguran wakil sayap itu ke MT dengan mempersoalkan syarat minimum itu kerana baginya ia adalah masalah teknikal semata-mata.

“Tun Faisal adalah EXCO Pemuda UMNO Pusat, mana lebih tinggi adakah bahagian atau pusat?” soalnya berkaitan kewajaran syarat berkenaan.


Bagi Tun Faisal pula, beliau pernah membangkitkan persoalan sama ada perlu atau tidak berada di UMNO Bahagian sedangkan pada masa sama sudah memegang jawatan pusat. Namun, kebimbangannya itu seolah-olah tidak disambut dan isu itu hanya dibiarkan berlalu begitu saja. Tetapi akhirnya keputusannya untuk bertanding tidak kesampaian apabila sahih, beliau tidak memenuhi syarat minimum seperti yang termaktub. Namun, beliau sudah mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan semula keputusan berkenaan.


Mengulas mengenai perkara itu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali menegaskan, mereka yang menjadi calon sekarang dulunya adalah perwakilan yang sememangnya sedar syarat minimum dan Kod Etika Pemilihan.


“Semua tahu mana yang tak boleh, setakat mana boleh. Dia (calon) tak boleh cakap tertekan kerana peraturan yang ketat apabila kita benarkan mereka berkempen dengan cara lain misalnya dia gunakan Facebook untuk perkenalkan diri,” katanya.


Apa pun tegas beliau, mereka yang digugurkan sebelum ini perlu menanti senarai akhir calon diumumkan kelak.


“Mereka boleh lihat sama ada nama ada atau tidak pada hari itu,” katanya.


Bagaimanapun, semua calon MT mungkin boleh menarik nafas lega terutama muka baru kerana Tajol bersetuju untuk mengurangkan kekusutan mereka dengan mengesyorkan senarai dan gambar mereka dicetak di semua akhbar utama negara bagi membolehkan 146,000 perwakilan mengenali dan membuat pilihan pada 19 Oktober depan.


“Saya syorkan supaya keluarkan semua nama dan gambar mereka di muka tengah akhbar utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01
`