Mutakhir

Kerajaan Terengganu akur pelan MKN

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mematuhi pelan penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sedia membawa pulang semua pelajar negeri ini di Mesir apabila perintah evakuasi dikeluarkan kerajaan pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata kerajaan negeri tidak akan bertindak sendirian dan menunggu arahan terkini MKN.

"Setakat ini, semua pelajar tajaan kerajaan Terengganu di negara bergolak itu dilaporkan selamat, dan situasi di sana sedang dipantau dari semasa ke semasa.

"Daripada 620 pelajar, kira-kira 300 orang masih berada di Mesir kerana menduduki peperiksaan manakala selebihnya sudah pulang ke tanah air," katanya pada sidang akhbar khas hari ini.


Turut hadir Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Rozali Salleh dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu Razali Mahmud. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/18