Harian Metro
Lydiawati tak suka hipokrit

WAJAH dan lakonan­nya memang dirindui penggemar filem dan drama. Ramai masih ingat lakonannya dalam

Kabus Tengahari bersama Datuk Sarimah Ahmad dan Suami, Isteri dan...? bersama Rosyam Nor.

Agak lama menyepi, Lydiawati atau nama sebenarnya, Salina Zaimon, 45, kini kembali menjadi rebutan pengarah filem.

Tahun ini saja bekas model produk kecantikan L’Oreal sudah membintangi tiga filem terbitan MIG iaitu 8 Jam, Sumpah Kum Kum dan 3 Temujanji. Dia turut memantapkan filem S.A.M. (Saya Amat Mencintaimu) terbitan Skop Productions Sdn Bhd yang sedang rancak dalam pembikinan.

Hadir di Balai Berita, baru-baru ini, Lydia yang masih anggun mengakui kariernya semakin rancak sehinggakan tidak ada banyak masa untuk berehat.

“Saya lebih senang jadi pelakon bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak. Buat masa ini saya banyak dapat tawaran berlakon jadi kenalah habiskan semuanya dulu. Memang ada ura-ura MIG mahukan saya jadi artis naungan mereka. Kalau mereka nak pun, kenalah tunggu hingga tahun depan kerana sekarang saya sudah ikat kontrak berlakon dengan banyak produksi bebas,” katanya.

Sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri, lakonan Lydia dapat disaksikan menerusi drama Moreh, Pusing Beraya dan Zuriat Yang Tercalar. Menerusi interaksi dengan peminat, ramai menyukai lak­o­nannya dan dia sendiri sangat berbesar hati dengan respons peminat.

“Walaupun berehat hampir tujuh tahun, hubungan saya dengan peminat sebenarnya masih berjalan seperti dulu. Mereka tanya saya kenapa lama sangat berdiam diri dan rindukan lakonan saya. Jadi, apabila berlakon semula, saya cuba berikan yang terbaik.

Kemunculan saya menerusi Ustaz Amirul disukai peminat sekali gus merangsang semangat saya untuk berlakon semula.

“Dalam pada itu, saya terkejut kerana filem Suami, Isteri dan.....? bukan saja diminati peminat Melayu bahkan juga orang Cina dan India. Hairan jadinya apabila mereka bercerita dan bertanyakan sambu­ngan filem ini setiap kali jumpa saya. Tak sangka saya diterima oleh kaum lain.

“Kalau nak tahu kisah sebenar, ketika ditawarkan berlakon filem ini dulu, saya simpan skripnya tanpa sentuh langsung hampir sebulan sebab malas nak ambil watak itu. Tambah pula ketika saya sibuk dengan ‘job’, antaranya sibuk terbang ke Paris kerana terikat sebagai duta L’Oreal.

“Bagaimanapun apabila Rosyam hubungi dan merayu, akhirnya saya terima juga watak ini. Selepas filem itu ditayangkan, saya sudah tidak berjumpa Rosyam lagi sampai sekarang. Kalangan peminat muda juga bertanyakan mengenai sambungan filem ini dan saya tak pasti sama ada Rosyam sedar atau tidak.

“Pernah juga dulu saya bincang dengan Rosyam untuk buat sambung projek ini secara kerjasama tapi belum menjadi atas sebab tertentu. Ketika itu juga jalan ceritanya tulisan Dilla Hussein sudah ada. Memang ceritanya menarik, tapi sayangnya idea ini belum dapat dizahirkan,” katanya yang baru habis berlakon drama 26 episod arahan Erma Fatima.

Bercerita mengenai perjalanan kariernya, Lydia mengakui agak penat kerana menguruskan segala-galanya bersendirian tanpa pembantu. Biarpun berjaya melakukannya sendiri, dia sering berhadapan dengan masalah apabila diberi watak orang kaya kerana perlu mencari pakaian berjenama mahal.

“Saya lebih suka watak orang kampung. Cara saya sebelum penggambaran, saya akan siapkan semua pakaian untuk konti dan serahkan kepada kru produksi. Saya tak mahu susahkan mereka dan buat persediaan semuanya seminggu sebelum itu. Malah saya sendiri akan ke kompleks beli-belah mencari pakaian.

“Selain itu saya juga kena berdepan dengan masalah di lokasi penggambaran seperti mendapat skrip pada saat-saat akhir kadangkala setebal dua muka surat. Tapi saya tak merungut dan minta tempoh dua jam untuk hafal skrip dan menghayati watak itu.

“Saya kena terima hakikat apabila usia mencecah 40 tahun. Saya tak ada masalah dalam perkara ini cuma saya tak setuju dengan sesetengah pelakon sekarang yang lebih­kan solekan daripada aspek lakonan.

“Saya pernah tegur pelakon begini kerana caranya salah. Saya sendiri lebih suka watak orang kampung dan tanpa solekan. Biarlah jadi orang kampung janji lakonan kita bagus. Kesian pula kadangkala jurusolek kena marah dengan pengarah sedangkan pelakon yang pandai-pandai ubah solekan,” katanya.

Di samping itu katanya, ada setengah pelakon suka bermain BBM (Blackberry Messenger) sedangkan mereka perlu menghafal skrip.

“Saya suka cakap berdepan dan bukan hipokrit. Terpulang­lah mereka sama ada hendak dengar atau tidak. Biasanya selepas habis penggambaran, saya akan meminta maaf dengan semua yang terbabit kalau-kalau ada yang terkasar.

“Paling utama, saya akan minta maaf dengan kru kerana merekalah yang bekerja keras dalam sesebuah produksi,” katanya.

Diajukan dengan kontroversi baru-baru ini apabila Lydia dikatakan menampar seorang pelakon kanak-kanak di lokasi penggambaran sehingga patah gigi, dia menganggap isu itu sudah selesai.

“Semuanya salah faham dan lain kali janganlah ada pihak suka membawa mulut dan bercerita perkara yang tidak benar. Kalau ada yang cakap dia patah gigi, saya lagi teruk kerana cedera bahagian pinggang ketika babak dipukul Along.

“Malah kecederaan ini tinggalkan kesan lebam akibat darah beku. Saya hanya mengadu kepada pengarah tapi tak mahu kecoh-kecoh sebab ia tugas.

“Sebagai pelakon saya terima risiko­nya asalkan lakonan saya dilihat bagus dan memuaskan hati semua pihak,” katanya yang menunjukkan gambar kesan kecederaannya itu dalam telefon bimbit.