Manfaat keberkatan Ramadan

Manfaat keberkatan Ramadan



Sam percaya pembaca semua terutamanya umat Islam di Malaysia sedang membuat persiapan untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia iaitu Ramadan Al-Mubarak. Kedatangan bulan ini sememangnya di tunggu-tunggu umat Islam kerana ia bulan yang penuh keberkatan.


Sam masih lagi ingat kala zaman kanak-kanak, Sam dan adik beradik setiap pagi akan bangun untuk bersahur. Mami akan sentiasa mengejut kami adik beradik walaupun masing-masing agak payah untuk bangun dari tidur.


Apabila dikenangkan kembali, ianya sesuatu perkara yang sangat lucu dan meninggalkan memori yang sangat indah. Sam juga percaya pembaca juga pastinya mempunyai pengalaman serta kenangan menarik apabila bercakap mengenai kedatangan Ramadan.


Tetapi situasi berpuasa kini dan berpuasa pada zaman dahulu memang sangat berbeza. Banyak perkara yang berubah. Namun yang pastinya Ramadan memberi kita seribu satu kebaikan dan keberkatan dalam kehidupan.


Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan bulan ini bukan lagi rahsia - Allah memilih bulan ini suatu rahmat, satu detik yang paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat iaitu detik turunnya kitab suci yang paling agung iaitu al-Quran. Bulan Ramadan juga untuk kita memperbetulkan diri sendiri, meningkatkan iman dan mempersiapkan kekuatan mental serta bekalan hari akhirat seperti doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita. Ramadan juga membentuk kita untuk mempertingkatkan ilmu atau merebut peluang melakukan segala macam amal kebajikan. Berterawih bersama ahli keluarga dan sahabat handai merupakan aktiviti yang sangat di tunggu-tunggu.


Selain mendapat fadhilat yang berkali ganda, bertarawih juga memberi kita mengeratkan silatulrahim bersama rakan-rakan dan jiran tetangga. Sepanjang Ramadan ini, Sam memang tidak mengambil sebarang tawaran lakonan atau aktiviti seni yang lain. Sam memilih untuk merehatkan diri bersama keluarga dan menumpukan aktiviti bersama golongan yang tidak bernasib baik. Sememangnya menjadi tradisi setiap tahun Sam akan mengikuti aktiviti berbuka puasa yang dianjurkan syarikat pengurusan Sam, Metrowealth (MIG). Saban tahun aktiviti berbuka puasa bersama anak yatim, ibu tunggal dan golongan yang kurang bernasib baik diadakan. Aktiviti seperti ini sememangnya sesuatu yang menarik untuk Sam dan rakan-rakan artis yang lain meraikan kedatangan bulan puasa bersama mereka. Ia turut memberi peluang kepada kami untuk mendekatkan diri dan membantu secara tidak langsung dengan golongan yang tidak bernasib baik ini. Selain itu, kedatangan Ramadan juga memberi kelebihan dan kebaikan kepada kesihatan kita juga. Puasa turut memberi kesedaran fizikal, mental, membersihkan diri, memberi keseimbangan pada keseluruhan badan kita jika persediaan awal dilakukan dengan baik. Sekian untuk minggu ini, sekali lagi Sam ingin ucapkan selamat menyambut bulan puasa. Semoga keberkatan bulan yang mulia ini memberi seribu rahmat buat kita semua. Pada semua, jaga kesihatan dan jangan lupa sahur kerana sahur amat penting di dalam bulan puasa walaupun sahur itu hukumnya sunat.