Harian Metro
Pijak muka sebelum lari

KUANTAN: “Selepas kereta dipandu terbabas melanggar lori berkenaan, banduan terbabit memijak muka saya beberapa kali sebelum melakukan perkara sama terhadap dua rakan setugas mengakibatkan kami bertiga lemah dan tidak berdaya untuk mempertahankan diri,” kata Lans Koperal Filyx Lansaver Jino, 25, yang patah paha kanan selepas terbabit dalam kemalangan akibat perbuatan agresif seorang banduan bertindak menendang kerusi pemandu dalam usaha mahu memboloskan diri di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan, berhampiran Taman Datuk Rashid, dekat sini, pagi kelmarin.

Menceritakan semula kejadian itu, Filyx Lansaver berkata, sebelum kejadian dia memandu kenderaan berkenaan mengikut tahap kelajuan dibenarkan sebelum tiba-tiba tempat duduknya ‘bergegar’ mengakibatkan kenderaan dipandunya terbabas ke kiri jalan.

Menurutnya, pada masa sama, dia sempat melihat sebuah lori berada di tepi jalan dan cuba mengelak daripada merempuh, namun gagal kerana jarak terlalu dekat sebelum melanggar seorang lelaki yang sedang membaiki kenderaan itu.

Katanya, selepas rempuhan berkenaan, dia yang berada dalam keadaan separuh sedar dihampiri banduan berkenaan sebelum muka dan badannya dipijak beberapa kali, manakala dua lagi rakan setugas turut mengalami nasib sama.

“Saya tidak sangka banduan terbabit sanggup bertindak agresif dalam usaha melarikan diri dengan keadaan tangan bergari dan memakai baju lokap. “Saya tidak menduga kejadian itu turut menyebabkan seorang pemandu lori tidak bersalah menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, selepas menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff.

Bagi Norliyati Abdul Rahman, 43, isteri kepada Koperal Abd Rashid Ahmad, 51, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan berita yang menimpa suaminya itu.

“Namun, saya bersyukur kerana keadaan suami tidak seteruk disangka,” katanya yang berasal dari Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu.

Kejadian itu turut mencederakan anggota lain, Konstabel Zulhairi Ramli.

Sementara itu, Mohd Jasmani berkata, banduan itu, Roslan Ismail, 32, ditemui beberapa penduduk di Taman Datuk Rashid selepas 11 jam bersembunyi dalam hutan.

“Suspek keluar dari tempat persembunyian sebelum menuju ke sebuah rumah dan meminta penduduk memberi sepinggan nasi bersama segelas air kerana kelaparan. “Selain meminta makanan, banduan terbabit turut meminta orang awam membantunya membuka gari sebelum sepasukan anggota polis tiba di tempat kejadian dan segera memberkasnya jam 10.25 malam kelmarin,” katanya.

Menurutnya, polis meneruskan siasatan berhubung kejadian itu dan klasifikasi kes itu mengikut Seksyen 224 dan 333 Kanun Keseksaan, manakala anggota polis turut disiasat mengikut Seksyen 223 kanun sama kerana kecuaian.

Harian Metro semalam melaporkan seorang banduan yang sepatutnya menjalani penjara lapan tahun dan 10 sebatan bertindak di luar dugaan apabila menendang kerusi pemandu dengan sekuat hati sehingga mengakibatkan kereta Proton Waja dinaiki tiga anggota polis terbabas.