Harian Metro
Saedah raih RM100,000

Kuala Lumpur: Lebih 500,000 penyertaan diterima bagi Peraduan Lagi Mudah Menang Harian Metro yang diadakan pada 30 November lalu. Peraduan istimewa sehari yang menawarkan hadiah wang tunai RM300,000 dianjurkan sempena pelancaran edisi Syok Sabtu akhbar itu turut mencatat sejarah apabila ia dicetak sebanyak 1.1 juta naskhah pada hari berkenaan iaitu rekod tertinggi jumlah cetakan dan edaran akhbar di Malaysia.

Pemilihan pemenang yang dibuat kelmarin disempurnakan oleh Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Abdul Ghafar Ismail, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Ahmad Salim Bachok dan Pengurus Besar Pemasaran The New Straits Times Press (NSTP), Putri Shireen Syed Othman. Hadiah utama peraduan iaitu wang tunai RM100,000 dimenangi oleh Saedah Sabli (690122-01-XXXX) sementara pemenang hadiah kedua bernilai RM5,000 setiap seorang (20 pemenang).

Seratus lagi peserta peraduan ini turut memenangi wang tunai RM1,000 setiap seorang. Bagaimanapun, senarai penuh semua 121 pemenang yang memenangi peraduan berhadiah RM300,000 itu akan disiarkan pada minggu hadapan.

Pemenang utama turut menerima baucar PETRONAS bernilai RM1,000, 20 pemenang tempat kedua menerima wang tunai RM5,000 bersama baucar bernilai RM100, manakala 100 pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai RM1,000 bersama baucar RM50.