Harian Metro
Telefilem pengajaran

Sempena Aidiladha hari ini, TV9 membawakan anda pilihan terbaik telefilem Skrin Di 9 setiap jam 8.30 malam bermula semalam. Bersesuaian dengan sambutan Aidiladha, telefilem yang bakal disiarkan pasti memberi seribu satu pengajaran berguna yang boleh dikongsikan bersama.

Antara telefilem yang disajikan seperti berikut:

Artis Pun Bertuhan, 8.30 malam ini.

Ia mengisahkan seorang artis popular, Juwita berniat untuk mengerjakan umrah namun menghadapi pelbagai halangan. Juwita sanggup menolak beberapa tawaran berlakon demi menunaikan umrah dan merahsiakan pemergiannya ke Tanah Suci.

Selain itu, Juwita turut diperkotak-katikkan oleh jemaah umrah yang lain sewaktu dia berada di sana. Mereka lebih sibuk mempertikaikan wang yang digunakan oleh Juwita untuk mengerjakan umrah daripada menjalankan ibadat umrah mereka sendiri. Mereka mengatakan wang yang Juwita gunakan untuk mengerjakan umrah itu adalah wang haram.

Autumn Di Hatiku, 21 Oktober (Isnin, 8.30 malam)

Resipi gabungan pelakon antara dua negara iaitu Malaysia dan Korea Selatan terbukti berjaya menarik sambutan hangat peminat terhadap Autumn Di Hatiku yang disiarkan secara global menerusi portal video Tonton sehingga hari ini. Meneruskan kesinambungan kejayaan luar biasa ini, stesen televisyen TV9 membawakan siaran telemovie Autumn Di Hatiku selama 2 jam buat tatapan penonton Oktober ini.

Mengisahkan mengenai Nina (Hanez Suraya) yang bekerja di sebuah kedai kek dan juga peminat fanatik K-Pop. Kemunculan seorang pelanggan, Park Au Tum, atau dikenali dengan ‘Autumn’ (Kim Jin Sung) di tempat kerjanya pada suatu hari mengubah segala-galanya. Nina mendapatkan bantuan Zidick (Aiman Hakim) selain rakan karibnya Jaja (Ezzaty Abdullah) dan cuba memenangi hati Autumn. Kai (Anas Ridzuan) pula sering kali mengganggu kehidupan dua gadis ini dan cuba menggagalkan usaha Nina.

Awang Senandung, 28 Oktober (Isnin, 8.30 malam)

Awang adalah bakal pewaris syarikat milik arwah bapanya tetapi kerana usianya yang muda dia tidak serius dengan tanggungjawabnya. Dia sering berfoya-foya dan leka ditemani dua rakannya Samdol dan Samdil. Awang juga sering mengejek Mila, anak orang gajinya yang berkulit hitam legam dengan panggilan seperti ‘Kopi O’ dan ‘Punggung Kuali’ namun Mila tidak pernah mengendahkannya.